Menyingkap Sejarah
Setiap kampung, pekan dan bandar mempunyai asal-usul
dan kisah silam yang unik. Begitu juga dengan nama dan asal-usul
Nilai yang diletakkan di bawah Majlis Daerah Seremban dan kini
dinaik taraf sebagai Majlis Perbandaran Nilai.
Serba Ringkas Asal Usul Pembukaan
Nilai mempunyai asal-usul dan sejarahnya yang tersendiri. Mengikut
sejarahnya, Nilai dahulunya diletakkan di bawah luak Sungai Ujong
yang ditadbir oleh waris di Darat yang ditadbir atau waris di
Air. Di bawah Dato' Johan daripada waris di Darat terdapat tiga
Dato' Lingkungan yang mengetuai tiga corak suku Batu hampar yang
tertumpu di beberapa buah kampung. Keturunan lain termasuk dari
Bentan yang tidak berdasarkan suku, tetapi mengikut kampung tempat
tinggal masing-masing. Sebagai Dato' Lembaga waris Perut Hulu,
Waris Telaga Undang Dato' Johan bukanlah titian balai kerana Dato'
Andika adalah lebih kanan. Bagaimanapun kuasa yang diberikan oleh
Dato' Kelana Putera bagi mengutip cukai sehingga tahun 1894 menunjukkan
kedudukan Dato' Johan di sisi balai Undang adalah penting.
Dato' Johan yang ke-3 iaitu Dato' Maamor adalah Dato' Kelana Putera,
Undang Luak Sungai Ujong ke-8. Sewaktu dilantik menyandang pesaka
Dato' Kelana Putera pun, Dato' Maamor masih belum dewasa. Ketika
itu Pesaka Dato' Kelana Putera kosong sejak tahun 1887 apabila
Dato' Mohd Yufof, Undang Luak Sungai Ujong dipecat. Disebabkan
waris Perut Hulu tidak mempunyai anak lelaki yang yang boleh menyandang
pesaka, maka anak-anak buah bersepakat melantik Dato' Maamor yang
masih kanak-kanak itu menyandang pesaka Dato' Johan dan kemudiannya
bergelar Dato' Kelana.
Wilayah kekuasaan Dato' Johan meliputi juga mukim Lenggeng yang
yang termasuk di dalamnya Kampung Mendum, Kampung Lenggeng, kampung
Sungai Jai, Kampung Hulu Beranang dan Kampung Dacing. Tiap-tiap
kampung itu mempunyai ketua adat masing-masing yang dipanggil
'Tua Waris'. Terdapat juga suku orang Minangkabau yang bertumpu
ke luak-luak lain di Negeri Sembilan sebelum mereka menetap di
kampung Lenggeng. Bagi menjamin kebajikan mereka di luak Sungai
Ujong maka tiap-tiap suku itu diberi 'Tua Waris' bagi menjadi
wakil mereka dalam urusan adat dan pentadbiran di Balai Undang
Luak.
Sumber Rujukan:
Negeri Sembilan Gemuk Berpupuk Segar Bersiram
oleh:
Yg. Berbahagia Tan Sri Abdul Samad Idris, Abdul Muluk Daud (Dharmala
N.S)